Karnival Jom Heboh 2025 Lonjak Ekonomi Usahawan PKS
KUCHING: Karnival Jom Heboh 2025 yang bukan sahaja menampilkan kios-kios berkonsepkan perkhidmatan dan hiburan tetapi turut melibatkan gerai-gerai jualan akan melonjakkan lagi ekonomi usahawan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, karnival kali ini yang berkonsepkan ‘one-stop centre’ menarik lebih ramai pengunjung, seterusnya membuka laluan kepada usahawan mempromosikan produk mereka.
“Pengunjung boleh membawa ahli-ahli keluarga mereka yang lain ke sini kerana karnival kali ini lebih kepada ‘one-stop centre’ yang menyediakan pelbagai perkhidmatan daripada makanan mahupun untuk mendapatkan maklumat perbankan atau ingin membuka akaun di Affin Bank.
“Seperti gula dengan semut, apabila ada tarikan orang ramai akan datang dan dengan ramainya pengunjung, usahawan kecil juga dapat manfaat kerana jualan mereka meningkat,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita setelah selesai melakukan ‘walkabout’ di tapak Karnival Jom Heboh 2025 di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini, pada Jumaat.
Mengiringi beliau dalam sesi ‘walkabout’ ialah Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA Datuk Mohd Efendi Omar.
Difahamkan, karnival tersebut menyediakan lebih 100 kios, termasuk jualan makanan fusion, pameran institusi kewangan, perkhidmatan perbankan serta pemeriksaan kesihatan percuma.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak bersama kementeriannya akan terus menyokong penganjuran karnival seumpama ini, termasuk menganjurkannya di daerah-daerah lain di negeri ini.
“Kita akan sentiasa memberikan sokongan, sama ada dari segi kewangan, sokongan moral atau bentuk bantuan lain, agar temasya seperti ini dapat dianjurkan selalu, bukan sahaja di Bandaraya Kuching, tetapi juga di bandar raya lain di seluruh Sarawak,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS