MIRI: Hari Kerjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) 2025 Zon Borneo yang berlangsung di Permymall, Miri hari ini menjadi platform penting dalam membuka laluan kerjaya baharu kepada golongan belia, khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, yang turut menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat kerjasama (LoI) antara ILKBS dan pihak industri.
Menurut Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Mohamad Mazlan Anis, program ini bukan sahaja menghubungkan graduan TVET dengan majikan, malah memberi ruang kepada belia yang masih mencari arah untuk melihat potensi dalam sektor teknikal dan vokasional.
“Usaha ini dapat membantu memperkukuh kebolehpasaran graduan, menyerlahkan potensi tenaga belia berkemahiran, dan secara tidak langsung menyokong agenda kerajaan dalam membina modal insan berdaya saing,” katanya.
Selain memberi peluang kepada graduan, program ini turut menyasarkan pelajar sekolah dan golongan belia termasuk belia berisiko dengan pendedahan terhadap prospek kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional yang semakin berkembang.
Penganjuran ini selari dengan Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan pengukuhan ekosistem TVET melalui kerjasama rentas kementerian dan sektor, sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan berkemahiran tinggi menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Hari Kerjaya TVET ILKBS 2025 Zon Borneo membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh hubungan awam-swasta serta memastikan sistem latihan kekal relevan dengan keperluan semasa, di samping menjadikan TVET pilihan utama belia untuk masa depan kerjaya yang lebih terjamin.-EDISI UKAS