Mr Sarawak 2025 Persiap Atlet Bina Badan Ke Pentas Mr Malaysia
MIRI: Kejohanan Bina Badan Peringkat Negeri Kali Ke-59, Mr Sarawak 2025 bukan sahaja menyaksikan kehebatan fizikal para peserta, malah menjadi medan penting menyerlahkan bakat serta pemilihan atlet Sarawak untuk mewakili negeri ke Kejohanan Mr Malaysia Ke-54 di Kuantan, Pahang hujung bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa kejohanan ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian atlet tempatan, tetapi turut membuka peluang bagi mereka menonjol di pentas nasional.
“Penganjuran kejohanan seperti ini dapat melahirkan lebih ramai atlet berdisiplin dan berdaya saing, selain mengangkat nama Sarawak dalam arena bina badan negara,” katanya.
Acara kemuncak menyaksikan atlet Miri, Awangku Hosin Awangku Bagul, dinobatkan sebagai Champion of Champions selepas menewaskan pemenang kategori lain.
Beliau terlebih dahulu menjuarai kategori Welterweight (75kg).
Selain itu, kategori Best Poser dimenangi oleh Asdillah Asmat Sefri (Miri), manakala pasukan Kuching muncul Juara Keseluruhan Berkumpulan.
Seramai 38 peserta dari zon Kuching, Sibu dan Miri berentap dalam 10 kategori di City Rise Hotel pada Sabtu bermula sejak pagi hingga ke malam.
Kejohanan edisi kali ini dianjurkan oleh Persatuan Bina Badan Bahagian Miri (PBBBM) dengan sokongan Sarawak Bodybuilding Association (SBBA) dan Malaysian Bodybuilding Federation (MBBF).
Ia sekali lagi membuktikan bahawa Sarawak mempunyai barisan atlet bina badan berbakat besar yang bersedia untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.-EDISI UKAS