Festival Beyond Waves & Dance Rhythms Perkukuh Pelancongan, Ekonomi Kreatif Lawas
LAWAS: Festival ‘Beyond Waves and Dance Rhythms’ 2026 yang berlangsung di Tebingan Waterfront Lawas dari 17 hingga 21 Jun ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh sektor pelancongan, ekonomi kreatif dan industri kebudayaan di wilayah utara Sarawak.
Penganjuran festival berkenaan bukan sahaja mengetengahkan keunikan warisan budaya masyarakat setempat, malah berperanan sebagai platform strategik untuk menarik kehadiran pelancong, merancakkan aktiviti ekonomi komuniti serta mempromosikan Lawas sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan rekreasi.
Festival anjuran Persatuan Kebajikan, Kebudayaan dan Ekspedisi Kaum Cina Lawas dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) itu berjaya menghimpunkan penyertaan masyarakat tempatan serta pengunjung dari Sabah dan Brunei Darussalam menerusi pelbagai pengisian menarik sepanjang lima hari penganjurannya.
Antara acara utama yang menjadi tumpuan ialah perlumbaan perahu naga yang menyaksikan penyertaan pasukan dari Lawas, Sabah dan Brunei Darussalam bagi merebut gelaran berprestij ‘Raja Sungai Lawas’.
Penyertaan pasukan dari luar daerah dan luar negara itu bukan sahaja meningkatkan daya tarikan festival, malah memperkukuh hubungan komuniti rentas sempadan melalui sukan dan aktiviti kebudayaan.
Selain perlumbaan perahu naga, festival tersebut turut menampilkan pelbagai program lain termasuk pertandingan dan persembahan line dance, persembahan muzikal, pertandingan nyanyian Voice of Lawas, festival makanan, Lawas Street Bundle serta pameran dan jualan produk kraf tangan tempatan.
Pengisian yang pelbagai itu membuka peluang kepada usahawan tempatan, penggiat seni, komuniti kreatif dan peniaga kecil untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka kepada pengunjung dari dalam dan luar kawasan.
Lebih menarik, festival kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan khas kumpulan komedi terkenal tanah air, Senario yang dijangka menjadi antara tarikan utama dan mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Lawas.
Penganjuran festival tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa industri pelancongan dan ekonomi kreatif sebagai antara sektor penting yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat, selaras dengan agenda pembangunan Sarawak yang memberi penekanan kepada pelancongan berasaskan budaya, komuniti dan warisan. -EDISI UKAS