JKKK Digesa Pacu Pembangunan & Ekonomi Luar Bandar
LIMBANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu tampil sebagai ejen pembangunan yang lebih proaktif dalam merancang dan menggerakkan aktiviti ekonomi komuniti bagi memastikan kampung serta rumah panjang di luar bandar terus berkembang, berdaya saing dan menikmati manfaat pembangunan secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata peranan JKKK pada masa kini tidak lagi terhad kepada fungsi pentadbiran dan pengurusan komuniti semata-mata, sebaliknya perlu diperkasakan sebagai pemacu pembangunan ekonomi serta penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.
Menurut beliau, setiap kampung dan rumah panjang mempunyai potensi tersendiri yang boleh dimanfaatkan menerusi pembangunan pelancongan komuniti, perusahaan tempatan, produk warisan serta pengurusan sumber secara lebih sistematik bagi menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup penduduk.
“Dalam memperkasakan JKKK, fokus tidak seharusnya tertumpu kepada aspek pentadbiran semata-mata. Sebaliknya, kita perlu memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dengan mengetengahkan potensi pelancongan, produk unik dan sumber yang ada di kawasan masing-masing agar kampung dan rumah panjang terus berkembang serta menjana manfaat kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pemantapan JKKK Rumah Panjang sempena Pesta Medamit 2026, di sini pada Jumaat.
Datuk Hasbi berkata kejayaan sesebuah kampung atau rumah panjang untuk dikenali dan menjadi destinasi pilihan banyak bergantung kepada keupayaan pemimpin komuniti memanfaatkan kekuatan serta kelebihan yang terdapat di kawasan mereka.
Katanya, kepimpinan JKKK yang progresif, berwawasan dan berinisiatif mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi, menarik pelaburan komuniti serta meningkatkan penglibatan penduduk dalam agenda pembangunan setempat.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa supaya lebih ramai golongan muda diberi ruang menyertai pengurusan JKKK sebagai usaha melahirkan pelapis kepimpinan yang mampu meneruskan agenda pembangunan luar bandar pada masa hadapan.
Menurut beliau, generasi muda mempunyai kelebihan dari segi idea, kreativiti dan penguasaan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan pendekatan baharu dalam pembangunan komuniti serta menjana sumber pendapatan baharu kepada kampung dan rumah panjang.
Beliau turut menegaskan bahawa JKKK berperanan sebagai saluran penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar, program dan inisiatif kerajaan kepada rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
Katanya, pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Kenyalang Gold Card (KGC) serta bantuan-bantuan lain perlu disebarluaskan secara berkesan bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan sasar.
“JKKK merupakan barisan hadapan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat. Oleh itu, mereka perlu sentiasa peka dan memastikan setiap maklumat berkaitan dasar serta bantuan kerajaan dapat disampaikan kepada masyarakat dengan tepat dan berkesan,” katanya.
Beliau berharap Program Pemantapan JKKK Rumah Panjang dapat melahirkan barisan kepimpinan komuniti yang lebih kompeten, progresif dan bersedia mendukung agenda pembangunan luar bandar yang inklusif serta mampan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, wakil Pegawai Daerah Limbang Donny Dunggat, Pengerusi SADIA Pampang Limbang Jerry Seraie Rintai, Timbalan Pengerusi SADIA Pampang Limbang Jangan Bakar serta Temenggong Willie Marum Liaw. -EDISI UKAS