Raja Sungai Lawas Tarikan Utama ‘Beyond Waves & Dance Rhythms Festival’ 2026
LAWAS: Gelaran berprestij Raja Sungai Lawas menjadi tumpuan utama ‘Beyond Waves and Dance Rhythms Festival’ 2026 apabila pasukan-pasukan terbaik perahu naga dari Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam berentap merebut kejuaraan di Tebingan Waterfront Lawas pada 20 dan 21 Jun ini.
Pertandingan tersebut dilihat sebagai antara acara kemuncak festival yang bukan sahaja mengangkat sukan perahu naga sebagai tarikan utama, malah memperkukuh kedudukan Lawas sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi bertaraf serantau.
Pengerusi penganjur, Liaw Chin Aik berkata festival yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu terus mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan pasukan dari seluruh Borneo hasil sokongan berterusan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Menurut beliau, kategori Raja Sungai Lawas diperkenalkan sebagai acara paling berprestij apabila menghimpunkan juara kategori 18 pekayuh tempatan dan juara kategori terbuka bagi menentukan pasukan terbaik keseluruhan kejohanan.
Katanya, edisi kali ini turut menerima penajaan khas daripada Awang Damit Ali Hasan yang menambah nilai serta prestij kepada pertandingan tersebut.
“Penyertaan yang diterima pada tahun ini amat menggalakkan dengan kehadiran pasukan dari Sarawak, Sabah dan Brunei. Ini membuktikan Lawas semakin dikenali sebagai lokasi penganjuran sukan perahu naga di rantau Borneo,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 14 pasukan dari Sabah dan lima pasukan dari Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini selain penyertaan pasukan tempatan.
Menurutnya, penganjuran acara tersebut bukan sahaja mempromosikan sukan perahu naga, malah menjadi platform memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara komuniti rentas sempadan di Borneo.
Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Lelacatria, Pengarah Ibrahim berkata penglibatan pasukannya dalam perlumbaan perahu naga sejak lebih 11 tahun lalu telah membuka ruang kepada pembinaan jaringan persahabatan yang erat antara komuniti pekayuh dari Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.
Katanya, setiap kejohanan yang dianjurkan menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan antara peserta tanpa mengira latar belakang.
Sementara itu, Jurulatih Pasukan Helang Setia, Abdul Mahmud Mohamad berkata pasukannya bersedia memberikan saingan sengit dalam kejohanan kali ini selepas muncul juara kategori 10 pekayuh pada edisi lalu.
Menurut beliau, pasukan tersebut turut meletakkan sasaran untuk mencabar gelaran Raja Sungai Lawas yang menjadi rebutan utama pasukan-pasukan terbaik dari seluruh Borneo.
Selain perlumbaan perahu naga, Beyond Waves and Dance Rhythms Festival 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan, seni persembahan, keusahawanan dan rekreasi yang dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara. -EDISI UKAS