Miring Nasih Ai Simbolik Pembukaan Acara Sukan Air Pesta Tatau 2025
TATAU: Upacara tradisi Miring Nasih Ai diadakan sebagai simbolik permulaan acara sukan air sempena Pesta Tatau 2025 di Wharf Lembaga Sungai Sarawak, Tatau, pagi ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai yang hadir bersama isteri Datin Sri Melia Gelen berkata, upacara miring ini diadakan sebagai tanda memohon keberkatan agar semua aktiviti melibatkan sukan air berjalan lancar dan selamat.
“Acara ini menjadi simbolik permulaan kepada dua tarikan utama pesta, iaitu Pertandingan Perahu Kayuh/Regatta Tatau 2025 dan Tatau Powerboat Championship,” katanya ketika menyempurnakan majlis berkenaan.
Pertandingan Perahu Kayuh yang bermula 11 September hingga 15 September, berjaya menarik 157 penyertaan daripada 16 pasukan melibatkan peserta dari seluruh Sarawak, dari Bau hingga ke Limbang.
Hadiah Raja Sungai tahun ini menawarkan wang tunai sebanyak RM22,500.
Sementara itu, Tatau Powerboat Championship yang dijadual bermula 13 September mencatatkan 192 penyertaan daripada 81 pasukan, termasuk penyertaan dari negara jiran, Brunei.
Untuk rekod, Pesta Tatau 2025 telah bermula sejak 29 Ogos lalu dan akan berakhir pada 15 September, dengan menawarkan 35 acara menarik sepanjang penganjurannya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Tatau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Tatau 2025, Calvin Ligong, Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis, serta wakil Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Clement Achui.-EDISI UKAS