Kisah Pembebasan Pendudukan Jepun di Sarawak Perlu Terus Diingati
KUCHING: Sejarah pembebasan Sarawak dari pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua perlu terus diingati dan diceritakan kepada generasi muda agar ia tidak dilupakan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, ramai yang tidak tahu kisah penderitaan yang dialami pada zaman tersebut seperti tahanan perang di Kem Batu Lintang semasa pendudukan Jepun yang pernah menempatkan seramai 3,000 orang tahanan perang ketika era Perang Dunia Kedua.
Kisah tersebut jelasnya menunjukkan penderitaan yang dialami penduduk Sarawak pada ketika itu yang menjadi sejarah hitam kepada wilayah ini.
"Itulah sejarah Sarawak dan kita mesti ingat kisah-kisah ini mesti serta disampaikan, mesti terus diceritakan, supaya generasi muda di Sarawak akan sentiasa mengingati siapa yang telah membantu kita pada waktu yang sukar itu, datang untuk membebaskan kita daripada zaman kegelapan penjajahan Jepun.
"Kita mesti sentiasa bersyukur atas jasa dan pengorbanan itu," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-80 Pembebasan Daripada Pendudukan Tentera Jepun di sini pada Khamis.
Tambahnya, peristiwa itu sarat dengan emosi apabila mengenang keadaan masyarakat Sarawak ketika itu yang melalui pengalaman pahit tersebut.
Justeru katanya, Sarawak terus bersyukur yang kini hidup aman dan harmoni biarpun terdapat perbezaan agama dan bangsa di mana keamanan ini tercapai dengan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu membebaskan Sarawak. -EDISI UKAS