ANMS Serian 2026 Perkukuh Budaya Hidup Sihat, Tangani Peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit
SERIAN: Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Bahagian Serian 2026 terus memperkukuh usaha membudayakan gaya hidup sihat, mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) serta memupuk kesejahteraan komuniti secara menyeluruh menerusi pendekatan ‘Whole-of-Nation’ yang melibatkan pelbagai agensi dan rakan strategik.
Pegawai Kesihatan Bahagian Bahagian Serian, Dr Marjorie Ensayan Junting berkata, program tersebut merupakan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memperkasakan kesihatan rakyat melalui pendidikan kesihatan, kawalan kesihatan kendiri dan penjagaan kebersihan persekitaran.
Menurut beliau, sejak dilancarkan pada tahun 2020, ANMS berkembang sebagai satu gerakan nasional yang memberi penekanan kepada penglibatan menyeluruh masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan.
“Di Bahagian Serian, pelaksanaan Jelajah ANMS telah bermula sejak tahun 2022 dan menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan.
“Tahun 2026 membuktikan komitmen berterusan semua pihak dalam menjayakan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Bahagian Serian yang diadakan bersekali dengan Jelajah Minda Sihat dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran 2026,” katanya ketika berucap pada program berkenaan, pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik ANMS Bahagian Serian termasuk Pusat Khidmat N22 Kedup, Pejabat Residen Bahagian Serian, Pejabat Daerah Serian, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mantung Mara-u, kelab belia serta agensi-agensi terlibat atas kerjasama erat menjayakan program tersebut.
Dr Marjorie berkata, ANMS digerakkan melalui empat teras utama iaitu promosi kesihatan dan budaya hidup sihat, perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, kawalan kesihatan kendiri serta kebersihan persekitaran.
Beliau menjelaskan bahawa aspek literasi kesihatan amat penting dalam memastikan masyarakat mampu membuat keputusan berkaitan kesihatan diri secara bijak dan bertanggungjawab.
“Tinjauan Literasi Kesihatan 2023 menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 27.05 peratus, masih mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah atau terhad.
“Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit dan membebankan sistem kesihatan negara,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, penganjuran program tersebut melalui kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Serian, rakan strategik ANMS dan komuniti MyChampion bertujuan menyampaikan pengetahuan berkaitan promosi serta pendidikan kesihatan kepada masyarakat.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program termasuk sesi senamrobik, Fun Walk Plogging, Pocket Talk, saringan kesihatan, pameran interaktif dan kuiz kesihatan.
Aktiviti Fun Walk Plogging turut dijadikan pengisian Program One Hour Malaysia Clean Up yang memberi fokus kepada usaha mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk bagi mencegah demam denggi serta penyakit berkaitan kebersihan persekitaran.
Selain itu, Perkhidmatan Wellness On Wheels (WOW) turut digerakkan bagi memperluas jangkauan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti melalui saringan kecergasan, pemeriksaan Indeks Jisim Badan (BMI), aktiviti senaman dan pendidikan kesihatan.
Dr Marjorie turut menyeru orang ramai agar memanfaatkan semua kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan sepanjang program bagi meningkatkan tahap literasi kesihatan masing-masing. -EDISI UKAS