Usahawan Samarahan Digalak Kuasai Platform Digital, Luas Pasaran Perniagaan
KOTA SAMARAHAN: Golongan usahawan di sekitar kawasan ini digalakkan supaya lebih berani memanfaatkan teknologi digital serta platform media sosial bagi mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan keluarga.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, penggunaan platform seperti Facebook, TikTok dan jualan dalam talian mampu membantu usahawan tempatan memperluaskan pasaran produk selain meningkatkan daya saing dalam ekonomi semasa.
Menurutnya, ramai usahawan berjaya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sebelum berkembang menjadi pengusaha berjaya hasil usaha gigih, ilmu perniagaan dan kebijaksanaan menggunakan teknologi semasa.
“Jangan malu bermula secara kecil-kecilan kerana kejayaan besar bermula daripada langkah pertama. Yang penting ialah kesungguhan untuk terus belajar dan berusaha,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gema Suara Gawai Samarahan 2026 yang berlangsung di The Summer Shopping Mall, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat pelbagai kaum di Sarawak agar terus memelihara semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi kekuatan utama negeri ini.
Katanya, sambutan perayaan seperti Gawai bukan sekadar acara kebudayaan dan hiburan, sebaliknya menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan silaturahim serta semangat saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
“Keunikan Sarawak terletak pada rakyatnya yang hidup dalam suasana harmoni walaupun berbeza kaum, agama dan budaya. Nilai ini perlu terus dipertahankan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan karaoke, tarian Gawai, Kumang dan Keling Gawai, pertandingan mewarna, pertunjukan fesyen serta bazar usahawan tempatan. -EDISI UKAS