RM73,000 Dana MRP Disalurkan Perkasa JKKK, Wanita & Belia Kedup
SERIAN: Sebayak RM73,000 dana di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada tujuh ketua kampung mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), biro wanita serta kelab belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup sebagai usaha memperkukuh pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, bantuan tersebut bertujuan menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, pembangunan belia serta memperkasakan peranan organisasi komuniti dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival ‘Sihat Itu Saya’ sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Bahagian Serian, Jelajah Minda Sihat dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran di Kampung Mantung Mara-u, di sini, pada Sabtu.
Mengulas mengenai program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu menegaskan bahawa kesihatan rakyat perlu dijadikan agenda bersama menerusi pembudayaan gaya hidup sihat dalam komuniti bagi melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera, produktif dan berkualiti.
Katanya, ANMS yang dilaksanakan menerusi pendekatan 'whole-of-nation' turut membuktikan pentingnya kerjasama erat antara agensi kerajaan, komuniti setempat dan rakan strategik dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat.
“ANMS meletakkan peningkatan taraf kesihatan rakyat Malaysia sebagai keutamaan melalui pembudayaan hidup sihat seperti hidup aktif, pemakanan sihat dan selamat, tidak merokok, penjagaan minda sihat serta kebersihan diri dan persekitaran,” katanya.
Menyentuh dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), beliau berkata statistik NHMS 2023 menunjukkan 21.8 peratus rakyat Malaysia berada dalam kategori obesiti manakala 32.6 peratus lagi mengalami berat badan berlebihan.
“Ini bermakna lebih separuh rakyat Malaysia kini berdepan isu berat badan berlebihan yang meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua lapisan masyarakat agar terus mengamalkan gaya hidup sihat demi melahirkan komuniti yang lebih sejahtera, produktif dan berkualiti. -EDISI UKAS