Pembangunan Pesat Giat Dijalankan Di Kampung Haji Wahed
MIRI: Pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan awam sedang giat dilaksanakan di Kampung Haji Wahed bagi meningkatkan kesejahteraan serta keselesaan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pelaksanaan projek tersebut merupakan hasil kerjasama berterusan antara kerajaan dan masyarakat dalam memastikan pembangunan sampai ke peringkat akar umbi.
Tambahnya, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM270,000 telah disalurkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kampung tersebut sepanjang tahun 2016, 2021 dan 2025.
"Antara projek yang telah dilaksanakan termasuk kerja menaik taraf surau, Dewan Serbaguna, pemasangan lampu jalan serta pengubahsuaian Tabika.
"Walaupun projek tersebut berskala kecil, namun impaknya besar dalam meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Kampung Angkat MADANI (KAM) di Kampung Haji Wahed, di sini, pada Sabtu.
Datuk Sebastian menambah, sejak Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) diperkenalkan pada 2019, sebanyak 52 rumah di kampung tersebut telah menerima bantuan pembaikan dan penambahbaikan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM780,000.
Ujarnya lagi, inisiatif ini telah banyak membantu keluarga, khususnya golongan berpendapatan rendah, dalam memperbaiki keadaan tempat tinggal mereka.
"Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan sampai ke peringkat akar umbi serta membolehkan masyarakat luar bandar terus menikmati kemudahan infrastruktur dan fasiliti awam yang lebih baik," ujar beliau. -EDISI UKAS