MIRI: Penganjuran festival seni dan budaya berpotensi menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi kreatif serta sektor pelancongan Sarawak sekali gus mengangkat negeri ini sebagai destinasi budaya utama di rantau ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian budaya, tradisi dan ekspresi seni perlu terus diketengahkan menerusi lebih banyak program berimpak tinggi.
Menurut beliau, usaha berterusan memperkasa industri kreatif bukan sahaja membantu memelihara warisan budaya negeri, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti seni dan pemain industri kreatif tempatan.
“Festival seperti ini bukan sahaja memperkenalkan keunikan budaya Sarawak kepada pengunjung, malah turut membantu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri.
“Ia memberi sumbangan besar kepada pembangunan sektor pelancongan, menarik kehadiran pengunjung serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi budaya terkemuka di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘Sarawak Arts, Crafts & Music Festival’ 2026 di sini, pada Sabtu.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu lagi, festival seumpama itu turut menjadi platform penting dalam mempromosi warisan budaya Sarawak di samping menyokong pembangunan komuniti kreatif tempatan secara berterusan.
Katanya, ia menghimpunkan artisan, penggiat seni persembahan dan pemain industri kreatif dari pelbagai kawasan sekali gus membuka ruang kepada pertukaran budaya, inovasi serta penghargaan terhadap seni warisan.-EDISI UKAS