Sambutan Hari Kebangsaan Semarakkan Semangat Patriotisme di SMK Kapit No.2
KAPIT: Lebih 1,500 warga Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Kapit No.2 yang terdiri daripada guru, kakitangan, dan pelajar menyertai Program Sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat sekolah yang berlangsung meriah di sekolah tersebut, pada Jumaat.
Program berkenaan bertujuan memupuk rasa cinta akan negara di samping menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar serta warga sekolah.
Dalam ucapan perasmian, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kapit No.2 Sidek Pawi menekankan kepentingan penghayatan erti kemerdekaan dalam kehidupan seharian.
Beliau turut menyeru pelajar mengamalkan nilai-nilai murni selaras dengan lima prinsip Rukun Negara.
Acara dimulakan dengan perarakan bendera yang disertai guru dan pasukan kadet Bomba sekolah, simbol semangat juang dan disiplin dalam kalangan pelajar.
Bagi mengiktiraf kreativiti dan usaha warga sekolah, turut diadakan penyampaian hadiah bagi kategori kelas paling patriotik serta penampilan paling patriotik melibatkan guru dan pelajar.
Majlis kemudian diakhiri dengan nyanyian Lagu Malaysia Madani bersama beberapa lagu patriotik oleh semua warga sekolah, sekali gus menyerikan suasana sambutan dengan penuh semangat kebangsaan.