Muzium Penting Sebagai Pusat Pengetahuan Sejarah, Budaya dan Tamadun
KUCHING: Muzium memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pusat pendidikan, malah sebagai wadah untuk masyarakat khususnya generasi muda memahami sejarah, budaya dan hala tuju masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, artifak dan data yang dipamerkan di muzium merupakan asas rujukan penting dalam memahami perjalanan tamadun serta perkembangan cara hidup manusia dari dahulu hingga kini.
“Ada ungkapan yang menyebut, masa lalu menentukan keadaan masa kini, dan masa kini pula akan menentukan masa depan.
“Ini bermakna segala yang telah kita lalui amat penting sebagai pengajaran dan pengalaman yang membentuk keadaan hari ini.
“Apabila kita melihat situasi semasa, kita perlu menyesuaikannya serta membayangkan bagaimana ia akan memberi kesan kepada masa depan,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Bermalam di Muzium ‘Night at the Museum’ (NATM) 2025 di Muzium Budaya Borneo, di sini, pada Ahad.
Beliau turut mengingatkan golongan muda agar mengenali asal usul budaya mereka, memahami perubahan gaya hidup dari generasi ke generasi serta mengadaptasi perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) tanpa melupakan warisan asal.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menekankan bahawa Sarawak mempunyai sejarah yang panjang, antaranya melalui penemuan artifak di Gua Niah yang membuktikan kewujudan tamadun awal di Borneo dan menjadi asas kepada budaya masyarakat di Kepulauan Nusantara.
Beliau menjelaskan, walaupun persembahan budaya berbeza, asasnya tetap sama dan disebabkan itu muzium amat penting kerana ia menyimpan fakta sejarah yang menjadi rujukan kepada masyarakat.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ahli Dewan Negara Senator Dato’ Ahmad Ibrahim serta dif-dif kenamaan lain.-EDISI UKAS