27 Pelajar Terima Insentif Anugerah Pelajar Cemerlang Kawasan Tarat
TARAT: Seramai 127 pelajar cemerlang menerima insentif Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun Akademik 2024 bagi sekolah-sekolah di bawah kawasan Tarat dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Tapah, Siburan pada Sabtu.
Program pemberian insentif ini merupakan inisiatif Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dengan kerjasama semua sekolah rendah dan menengah di kawasan berkenaan.
Insentif ini bertujuan mengiktiraf dan menghargai pencapaian akademik para pelajar khususnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), selain diploma dan ijazah.
Pada tahun ini, jumlah keseluruhan insentif yang disalurkan ialah sebanyak RM27,660.00 denga seramai 75 orang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala 52 orang lagi adalah calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diploma dan ijazah.
Selain itu, hadiah turut disampaikan kepada sekolah yang cemerlang dalam bidang kokurikulum di peringkat kebangsaan bagi tahun 2024.
Menariknya, bermula tahun hadapan, insentif turut diperluaskan kepada pelajar Tahun 6 terbaik berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Dual Language Programme (UP-DLP) yang merangkumi tiga subjek utama iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Objektif pemberian insentif ini adalah untuk memberi galakan dan motivasi kepada pelajar agar terus berusaha gigih dalam bidang akademik serta kokurikulum, di samping meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan sokongan terhadap kecemerlangan anak-anak mereka. -EDISI UKAS