KUCHING: Acara Merdeka Fun Walk anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Bandarshah (Wanita) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bandarshah berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 200 orang di Dewan Pertubuhan Anak Seni Kampung Bandarshah pada pagi Ahad.
Majlis flag off disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato’ Ibrahim Baki.
Program dimulakan dengan aktiviti senam aerobik sebagai pemanas badan sebelum peserta menyertai acara larian santai. Menariknya, penyertaan melibatkan pelbagai peringkat umur termasuk warga emas, belia serta kanak-kanak, mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat setempat.
Objektif penganjuran bukan sahaja untuk menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga memperkukuh ikatan silaturahim dan menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025. -EDISI UKAS