MUKAH: Razi Suhaimi muncul juara Pertandingan Memancing Raja Tenggiri Mukah 2025 selepas berjaya menaikkan hasil tangkapan seberat 11.41 kilogram (kg) pada acara yang berlangsung di perairan Kuala Mukah, Ahad.
Kejayaan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, sebuah piala serta set joran dan peralatan memancing.
Razi turut menerima hadiah wang tunai tambahan berjumlah RM2,000 selepas tangkapannya melepasi kategori Double Digit.
Naib juara dimenangi Frederick Gira dengan tangkapan seberat 5.68kg yang membolehkan beliau meraih RM2,000 manakala tempat ketiga disandang Jeffry Ingka (5.66kg) yang membawa pulang RM1,500.
Arni Ajis pula dinobatkan sebagai Tekong Terbaik dengan hadiah RM500, manakala Pasukan Terbaik dimenangi Juventius Rudi yang menerima RM2,000.
Hadiah disampaikan oleh Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip yang dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pemancing Mukah atas penganjuran edisi ketiga pertandingan tersebut.
“Tahun ini kita berjaya mencapai sasaran tangkapan dua digit yang tidak dapat dicapai dalam edisi sebelumnya.
“Tahniah kepada semua peserta, dan yang kurang bernasib baik, kita berharap akan kembali menyertai tahun depan,” katanya.
Pertandingan yang disertai 73 pemancing melibatkan 14 buah bot itu berlangsung meriah meskipun cuaca pada awal pagi diselubungi hujan renyai dan ombak besar sehari sebelumnya.
Penyertaan kali ini turut melibatkan kaki pancing dari Miri, Bintulu, Kuching dan Mukah.
Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran yang menurutnya berpotensi menjadikan Mukah sebagai pusat aktiviti memancing rekreasi berikutan kekayaan hasil laut termasuk spesies predator serta ikan dasar bernilai tinggi.
Selain itu, Persatuan Pemancing Mukah menyatakan hasrat agar Raja Tenggiri disenaraikan sebagai salah satu produk pelancongan rasmi Sarawak, sekali gus mengangkat Mukah sebagai destinasi utama pemancing tempatan dan antarabangsa.
Acara sampingan turut diadakan termasuk Pertandingan Memancing Jemputan JKKK (Tertutup) anjuran Majlis KMKK Daerah Mukah, booth pameran pelbagai agensi kerajaan, persembahan Silat Pusaka Mengalai serta lelongan ikan.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu LT Muda (M) Rama Aras serta wakil penaja utama Rapala VMC (Asia Pacific) Sdn. Bhd., Dominic Lee Ik Leong.-EDISI UKAS