Hari Malaysia: Sarawak Buktikan Peranan Besar Sejak 1963
KUCHING: Sarawak telah membuktikan peranannya yang penting dalam pembinaan Malaysia sepanjang 62 tahun sejak tarikh bersejarah 16 September 1963.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menegaskan, Perjanjian Malaysia bukan sekadar dokumen politik, tetapi merupakan manifestasi persetujuan yang menjamin hak dan kedudukan istimewa setiap wilayah termasuk Sarawak yang termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sejak sekian lama, Sarawak telah memberi sumbangan besar dalam aspek politik, ekonomi dan sosial negara.
“Kepimpinan negeri berjiwa inklusif dan berpaksikan semangat ‘Sarawak First’, demi memastikan pembangunan negeri mendahului kebajikan rakyat,” katanya dalam ucapan khas sempena sambutan Hari Malaysia ke-62 pada Isnin.
Datuk Abdullah menegaskan, Sarawak menjadi contoh terbaik perpaduan kaum di Malaysia berikutan kekayaan warisan adat dan tradisi pelbagai etnik yang hidup dalam keharmonian, sekali gus diiktiraf sebagai model integrasi sosial yang mesra dan akrab.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan kebencian, perkauman dan fitnah sehingga boleh menggugat keamanan negara.
“Kita bertuah kerana hidup dalam suasana aman dan damai di bumi Malaysia.
“Jangan sekali-kali kita mengkhianati pengorbanan pahlawan terdahulu atau merosakkan ‘rumah’ kita yang indah ini,” tegasnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Sarawak terus maju sebagai khazanah negara yang diwarisi generasi baharu, selain menyeru rakyat Malaysia untuk bersama mempertahankan kedaulatan, perpaduan dan kemerdekaan.
“Selamat Hari Malaysia yang ke-62. Semoga kita terus ‘Segulai Sejalai’ selamanya,” katanya mengakhiri ucapan.-EDISI UKAS