SMK Bintulu Bakal Miliki Tapak Perhimpunan Berbumbung
BINTULU: Lebih 3,400 pelajar dan 212 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu bakal menikmati kemudahan baharu apabila kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap cadangan pembinaan tapak perhimpunan berbumbung di sekolah itu.
Cadangan tersebut dikemukakan dalam sesi pertemuan bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel di sekolah itu pada Selasa.
Dalam ucapannya, Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah menegaskan bahawa setiap projek pembangunan infrastruktur sekolah akan dilaksanakan secara profesional, telus dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan hasilnya memberi manfaat optimum kepada warga sekolah.
“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyediakan kemudahan pendidikan yang selesa, selamat dan berkualiti tinggi.
“Dengan adanya tapak perhimpunan berbumbung ini kelak, pelajar dan guru dapat melaksanakan pelbagai aktiviti tanpa terjejas oleh cuaca,” katanya.
Penolong Jurutera JKR Bintulu, Ngu Tie Hua turut membentangkan cadangan teknikal projek berkenaan, yang dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti persekitaran pembelajaran di sekolah tersebut.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan komunikasi dua hala antara pihak sekolah dan kerajaan dalam memastikan setiap cabaran pendidikan dapat ditangani secara berkesan melalui kerjasama erat semua pihak.
SMK Bintulu kini menempatkan seramai 3,439 pelajar dan 212 guru.
Dengan adanya kemudahan baharu itu nanti, sekolah berkenaan akan lebih bersedia menganjurkan pelbagai program pendidikan serta kokurikulum secara lebih kondusif.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak Adana Jed, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri dan JKR Bintulu.-EDISI UKAS