Pertandingan Bermukun Kaul Mukah 2026 Meriah, Tarik Penyertaan Antarabangsa
MUKAH: Penganjuran Pertandingan Bermukun sempena Kaul Mukah 2026 terus menyemarakkan usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Melanau apabila berjaya menarik penyertaan meluas termasuk dari luar Bahagian Mukah serta negara jiran, Brunei Darussalam.
Dalam pertandingan tersebut, Kumpulan Mukun Warisan Melanau Bintulu dinobatkan sebagai juara kategori Adiwarna selepas mencatat markah tertinggi 96.5 peratus, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200, piala dan sijil.
Tempat kedua dimenangi Perantau Seni dengan 96 peratus yang membawa pulang RM1,000, manakala tempat ketiga menjadi milik kumpulan Selendang Putera dari Kumpulan Mukun Selendang Sutera, Brunei Darussalam dengan 94.5 peratus untuk meraih RM800.
Bagi kategori sama, anugerah busana dan tatarias terbaik dimenangi Selendang Sutera, manakala pasangan pemantun terbaik disandang Perantau Seni.
Sementara itu, kategori Adiputera menyaksikan Kumpulan Kasihnya Perantau muncul johan, diikuti Kasih Abadi sebagai naib johan dan Warisan Zaman Berzaman di tempat ketiga, dengan Kasihnya Perantau turut meraih anugerah busana dan tatarias terbaik serta pemantun terbaik.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip dan turut dihadiri Ahli Parlimen Mukah merangkap Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib.
Untuk rekod, sebanyak 14 kumpulan mengambil bahagian melibatkan peserta dari Mukah, Oya, Daro, Bintulu, Miri, Limbang serta Brunei Darussalam.
Pertandingan anjuran Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Mukah ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Kaul Mukah, malah menjadi platform penting dalam menarik penyertaan luar serta mengangkat seni bermukun ke peringkat lebih luas, sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memperkasa warisan budaya negeri. - EDISI UKAS