Insentif SPM Pemangkin Kecemerlangan Pelajar Luar Bandar
BINTANGOR: Insentif Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang disalurkan kepada pelajar cemerlang dilihat sebagai pemangkin penting dalam mendorong kecemerlangan akademik khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata pengiktirafan seumpama itu bukan sahaja menghargai usaha pelajar, malah menjadi suntikan motivasi untuk mereka terus melakar kejayaan pada masa hadapan.
“Pencapaian ini bukan sahaja hasil usaha pelajar semata-mata, tetapi turut didorong oleh sokongan padu ibu bapa, guru-guru serta pihak sekolah yang sentiasa komited dalam memastikan kejayaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Upacara Ringkas Penyerahan Insentif SPM Tahun 2025 SMK Kai Chung di sini pada Khamis.
Seramai 51 pelajar menerima insentif sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan SPM Tahun 2025.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan para pelajar agar tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan yang diraih, sebaliknya terus berusaha mempertingkatkan diri dalam bidang pendidikan dan kehidupan.
“Gunakan insentif yang diterima ini sebaiknya sebagai motivasi untuk terus mengejar cita-cita dan mencapai kejayaan yang lebih besar,” tambahnya.
Majlis tersebut bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar, malah turut menyuntik semangat kepada pelajar lain untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik.
Jelas Datuk Ding, inisiatif seperti ini diharap dapat diteruskan bagi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri.-EDISI UKAS