Sarawak Perkukuh Pendidikan dan Modal Insan Melalui Pelbagai Inisiatif Baharu
LINGGA: Sarawak terus memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan melalui pelbagai inisiatif baharu yang dirangka secara menyeluruh demi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pendidikan dan Inovasi) Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, Sarawak melakar sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang menyediakan pendidikan percuma menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan khas.
Beliau berkata, penubuhan kementerian khas berkaitan pendidikan oleh Kerajaan Sarawak merupakan langkah strategik bagi memperkukuh sistem pendidikan negeri, sekali gus memastikan pelajar di seluruh daerah mendapat akses pendidikan yang lebih berkualiti dan menyeluruh.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan taraf pendidikan, malah membantu keluarga berpendapatan rendah agar anak-anak mereka dapat meneruskan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan.
“Langkah tersebut turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan keadilan pendidikan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penangguhan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pemerkasaan & Kesihatan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Lingga pada Khamis.
Datuk Dr. Annuar menambah kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kepada anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti yang diiktiraf, termasuk menanggung sehingga 50 peratus kos pengajian sebagai usaha mengurangkan beban keluarga dan memberi peluang lebih luas kepada generasi muda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, ujarnya, pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam akademik turut berpeluang menerima insentif khas daripada kerajaan negeri sebagai galakan untuk terus berjaya dalam bidang pendidikan.
Menurut beliau lagi, pelajar Sarawak yang menyambung pengajian di luar negeri tidak dipinggirkan apabila mereka turut layak menerima bantuan dan insentif pendidikan daripada kerajaan negeri.
Dalam usaha meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu memaklumkan, kerajaan turut merancang penubuhan Pusat Sains sebagai platform pembelajaran interaktif untuk menarik lebih ramai pelajar mendalami bidang tersebut.
Program CSR yang berlangsung dari 29 April hingga 1 Mei 2026 itu menjadi platform penting dalam memperkukuh pembangunan pendidikan, kepimpinan dan kesejahteraan komuniti luar bandar khususnya dalam kalangan pelajar Tahun Enam.
Program tersebut dianjurkan dengan sokongan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor serta melibatkan kerjasama guru-guru, sukarelawan dan pelbagai pihak yang komited dalam memperkasa komuniti melalui pendekatan menyeluruh merangkumi pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, kesihatan dan kebajikan sosial.
Hadir sama ke majlis penangguhan itu ialah Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pengerusi ICL merangkap Pensyarah Fakulti Perubatan Sains Kesihatan UNIMAS Prof Kamaruddin Kana serta Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Abdul Rahman Muhiddin.-EDISI UKAS