Pertandingan Raja Umai Perkukuh Warisan Tradisi Di Kaul Mukah
MUKAH: Pertandingan Raja Umai yang berlangsung sempena Kaul Mukah terus menjadi platform penting dalam mengetengahkan keunikan makanan tradisi masyarakat tempatan, khususnya umai.
Seramai sembilan peserta dari sekitar Mukah dan Oya mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Mukah/Oya dengan kerjasama Pejabat Daerah Mukah, di Tapak Kaul Mukah pada Khamis.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, yang turut menyaksikan semangat peserta serta sokongan komuniti setempat terhadap kelangsungan makanan tradisi.
Dalam pertandingan tersebut, Hisyamudin Padlam dari Oya muncul sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM500, tempat kedua dimenangi oleh Farizan Bolhasan Yap Bulhasan dari Mukah (RM300), manakala tempat ketiga menjadi milik Sebeli Mensalleh dari Mukah (RM200).
Enam peserta lain turut menerima saguhati RM100 setiap seorang.
Selain itu, anugerah khas turut diberikan bagi mengiktiraf kelebihan peserta dalam kategori tertentu yang mana Sebeli Mensalleh memenangi kategori Rasa dan Kualiti, Hisyamudin Padlam bagi Kreativiti dan Keaslian, Ahmad Fairul Hanzam Shah Abdullah bagi Persembahan Hidangan dab Farizan Bolhasan Yap Bulhasan bagi Tahap Kebersihan.
Pertandingan ini bukan sahaja menampilkan kepelbagaian penyediaan umai, malah memperkukuh usaha memelihara makanan tradisi dalam kalangan masyarakat setempat.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian yang juga Pengerusi Persatuan Melanau Mukah, Abdul Yakub Arbi, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Mukah/Oya, Ali Hamid serta Pengurus Besar persatuan tersebut, Abdul Mutalib Salman.- EDISI UKAS