SIBU: Sejumlah RM10 juta diperuntukkan di bawah inisiatif Belanjawan 2026 khusus bagi kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara.
Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata, projek penyelenggaraan itu melibatkan sebanyak 1,545 unit kuarters menerusi 107 projek pembangunan.
"Daripada jumlah keseluruhan itu, ia turut merangkumi 169 unit kuarters bomba yang terletak di seluruh Sarawak.
"Jabatan juga telah mengemukakan permohonan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta lagi kepada Kementerian Kewangan dan kita berharap ia dapat diluluskan bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan April 2026 Peringkat Negeri Sarawak Zon 4 (Sibu), di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, di sini pada Khamis.
Selain kuarters, Jamri memaklumkan bahawa sejumlah RM10 juta turut diperuntukkan melalui manfaat di bawah Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB) bagi penyediaan kemudahan kebajikan, sukan, rekreasi, keselamatan serta penyelenggaraan di balai-balai bomba.
Malah menurutnya, Jawatankuasa Akaun Amanah KWKB juga telah meluluskan RM123,632.42 bagi tujuan perolehan bahan mentah dan alat ganti kerja penyelenggaraan surau-surau di bawah JBPM Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan Sarawak bakal menerima agihan Kenderaan Operasi Ringan (LOV) paling banyak iaitu sebanyak 25 unit daripada baki 160 unit yang akan diterima secara berperingkat.
“Bagi meningkatkan tahap keselamatan anggota ketika bertugas, jabatan turut melaksanakan perolehan 6,000 pasang pakaian kalis api (Fire Resistant Suit - FRS) yang dijangka selesai dibekalkan sepenuhnya menjelang tahun 2027,” ujarnya.
Mengulas mengenai kekuatan anggota, Jamri memberitahu, jabatan komited untuk melaksanakan pengisian penuh bagi pasukan-pasukan khas jabatan bermula tahun ini sehingga 2027.
"Setakat ini, Pasukan HAZMAT dan CBRNe mencatatkan 91 peratus pengisian, manakala Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada tahap 66 peratus dengan 100 lagi anggota baharu sedang dalam proses pentauliahan.
"Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) pula masih mempunyai 327 kekosongan untuk diisi daripada keseluruhan 1,782 perjawatan di seluruh Malaysia,"jelasnya lanjut.- EDISI UKAS