IDECS25 Angkat Sarawak Sebagai Peneraju AI, Teknologi Hijau Serantau
KUCHING: Sarawak bakal memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi digital dan teknologi hijau apabila International Digital Economy Conference Sarawak 2025 (IDECS25) kembali dengan tema “AI & Evolusi Hijau: Pertumbuhan, Cabaran, dan Daya Tahan Komuniti” pada 22 hingga 23 Oktober depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Persidangan edisi kelapan itu akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dan dijangka menghimpunkan lebih 4,500 peserta terdiri daripada pakar industri, penggubal dasar, inovator, usahawan, organisasi alam sekitar, dan komuniti pengetahuan dari dalam dan luar negara.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, penganjuran IDECS25 adalah bukti komitmen kerajaan negeri menyelaras pembangunan ekonomi digital dengan agenda Environmental, Social, and Governance (ESG) serta United Nations Sustainable Development Goals (UNSDGs).
“Kita tidak hanya fokus pada teknologi itu sendiri, tetapi juga aplikasi yang bertanggungjawab untuk menjamin masa depan yang mampan buat komuniti dan planet kita.
"IDECS terus menjadi pemangkin kolaborasi serantau serta platform integrasi dasar strategik dan kemajuan dunia nyata,” katanya dalam sidang media khas IDECS25 di Menara LCDA, pada Jumaat.
Antara topik utama yang bakal dibincangkan termasuk pembangunan ekonomi berkuasakan AI, bandar pintar, tadbir urus digital, ekonomi kitaran, pembangunan lestari serta bioteknologi.
Persidangan ini turut menampilkan barisan penceramah antarabangsa terkemuka seperti James Barrat, Dr. Ayesha Khanna dan Dr. Justin Cohen.
Komponen utama IDECS25 ialah National Bioeconomy Showcase 2025 (NBIOSHOWCASE) anjuran Bioeconomy Corporation di bawah MOSTI yang akan memperlihatkan inovasi bioteknologi dan produk berasaskan bio, termasuk penyelesaian untuk cabaran global seperti keselamatan makanan, penjagaan kesihatan dan ekonomi kitaran.
IDECS25 dianjurkan bersama oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Information Systems (SAINS) dengan Bioeconomy Corporation sebagai rakan strategik.
Antara penaja utama termasuk Huawei, Insights Analytics Berhad, ZTE, MDEC, TERAJU, Yayasan Peneraju, SAINS dan ZUS Coffee.-EDISI UKAS