Kumpulan Zikir Al-Ummah Johan Pertandingan Zikir Marhaban Bahagian Miri 2025
MIRI: Kumpulan Zikir Al-Ummah dari Masjid Al-Ummah Tudan Fasa 4 dinobatkan johan Pertandingan Zikir Marhaban Bahagian Miri 2025.
Terdahulu mereka mempersembahkan lagu Khairuman dan Badatlana dan akan mewakili Bahagian Miri ke Pertandingan Zikir Marhaban Peringkat Borneo di Kuching pada 1 hingga 2 November nanti.
Naib johan pula disandang Kumpulan Suara Zikir Madani Miri dari Masjid Miri Jalan Merbau dengan persembahan lagu Khairuman dan Falakam Lahu.
Pertandingan yang berlangsung di Dewan Tun Rahman, Masjid At-Taqwa Miri itu dianjurkan Persatuan Melayu Miri dengan kerjasama Masjid At-Taqwa, Persatuan Iman Bahagian Miri dan Masjid Miri, pada Ahad.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Keusahawanan, Datuk Dr Ripin Lamat ketika merasmikan pertandingan menyifatkan penganjuran julung kali itu sebagai langkah penting yang bukan sahaja menyemarakkan syiar Islam, malah mengukuhkan perpaduan masyarakat.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi menyokong kelangsungan program seumpama itu.
Terdahulu Yang Dipertua Persatuan Melayu Miri merangkap Pengerusi Pertandingan, Radzali Alision, menjelaskan bahawa penganjuran pertandingan bukan sahaja sebagai medan memilih wakil Bahagian Miri ke Pertandingan Zikir Marhaban Peringkat Borneo di Kuching pada November nanti, malah bertujuan memperkasakan budaya Melayu Islam serta memartabatkan seni warisan Islam dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Kr. Ariffin Mohamad, Pemanca Ujut Rahman, Penghulu Samad Alip serta barisan kepimpinan masyarakat Islam setempat.-EDISI UKAS