KUCHING: Acara lompat tinggi lelaki bertukar menjadi pentas dominasi penuh atlet Sabah apabila ketiga-tiga kedudukan podium dibolot wakil negeri itu di Stadium Negeri pada Khamis.
Farrell Glenn Felix Jurus muncul juara selepas mencatat lompatan terbaik setinggi 2.05 meter, menewaskan rakan sepasukan, Mohamad Eizlan Dahalan yang turut melompat 2.05 meter tetapi terpaksa berpuas hati di tempat kedua berdasarkan kiraan percubaan.
Rakan senegeri mereka, Reynolds JC Majin melengkapkan sapuan pingat Sabah dengan catatan 1.95 meter untuk meraih gangsa.
Atlet Sarawak, Clarence Didak Tieuse dan Clement Rugin Tieuse masing-masing menamatkan saingan di tempat keempat dan kelima dengan catatan 1.80 meter dan 1.75 meter.
Kejayaan ini sekali gus mengesahkan reputasi Sabah sebagai kuasa besar dalam acara lompat tinggi di peringkat kejohanan kali ini.-EDISI UKAS