KUALA RAJANG: Pembudayaan keusahawanan dalam kalangan belia dilihat sebagai antara langkah paling penting bagi memperkukuh ekonomi luar bandar serta mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, golongan muda perlu didorong menceburi bidang perniagaan dan tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan yang disediakan oleh pihak lain.
Menurutnya, belia mempunyai potensi besar untuk menjadi penggerak ekonomi komuniti sekiranya diberikan pendedahan, latihan dan bimbingan yang mencukupi.
“Masih ramai lepasan sekolah dan institusi pengajian yang meletakkan sasaran untuk mendapatkan pekerjaan tanpa menyedari peluang luas yang terdapat dalam bidang perniagaan.
“Ekonomi luar bandar akan berkembang lebih pesat jika kita berjaya melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan dalam komuniti mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Hari Kemahiran KEMAS Jabatan KEMAS yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Rajang pada Sabtu.
Menurut Datuk Len, pelbagai kemahiran yang dimiliki masyarakat luar bandar boleh diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang memberi pulangan lumayan.
Antara bidang yang berpotensi untuk dikembangkan ialah jahitan, tenunan, kraftangan, pertukangan serta penghasilan produk tempatan yang mempunyai nilai pasaran.
Tambah beliau, penglibatan lebih ramai belia dalam sektor keusahawanan bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat, malah mengurangkan kebergantungan terhadap sektor pekerjaan tradisional.
Pada masa sama, usaha itu turut memastikan kemahiran warisan dan produk tempatan terus dipelihara serta dikembangkan sebagai sumber ekonomi baharu.
Beliau juga yakin pembangunan keusahawanan yang berterusan mampu melahirkan generasi belia luar bandar yang lebih berdikari, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kawasan. - EDISI UKAS