ENGKILILI: Perpaduan merupakan asas utama dalam memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat rumah panjang dan komuniti, sekali gus menjamin kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, kerjasama dan kesepakatan masyarakat bukan sahaja mampu mengukuhkan hubungan komuniti, malah menjadi faktor utama dalam menjayakan pelbagai agenda pembangunan di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2026 yang digabungkan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Rebecca, Lipat Ulu pada Sabtu.
Dalam pada itu, Roy Angau turut menekankan kepentingan memelihara tradisi Ngiling Tikai sebagai warisan budaya masyarakat Dayak yang melambangkan identiti serta jati diri komuniti.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar perlu terus dipertingkatkan termasuk melalui cadangan pembinaan sebuah dewan berpusat yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti setempat bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Selain itu, beliau menggalakkan ibu bapa dan masyarakat memberi dorongan kepada golongan pelajar untuk menceburi bidang sukan kerana sektor tersebut berpotensi melahirkan atlet berprestasi tinggi selain menjadi sumber pendapatan pada masa hadapan.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan komuniti setempat, beliau mengumumkan peruntukan RM20,000 menerusi Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk JKKK Rumah Rebecca, RM8,000 untuk Biro Wanita serta RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi JKKK Lipat Ulu untuk tahun 2027.-EDISI UKAS