Program KEMAS Perkukuh Ekonomi, Kemahiran Komuniti Desa
KUALA RAJANG: Kerajaan terus komited memperkasa pembangunan ekonomi luar bandar menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program Pemerkasaan Komuniti Desa yang dilaksanakan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, program anjuran KEMAS itu bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan kemahiran dan keusahawanan, malah memperkukuh kerjasama dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, program selama dua hari itu menghimpunkan kira-kira 150 peserta dari Rajang, Jerijih, Meluan, Kapit dan Batu 7 sebagai platform untuk berkongsi ilmu, meningkatkan kemahiran serta mempamerkan produk komuniti setempat.
“Program seperti ini penting untuk membangunkan kapasiti masyarakat dan mengukuhkan ekonomi komuniti agar mereka lebih berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Hari Kemahiran KEMAS Jabatan KEMAS yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Rajang pada Sabtu.
Katanya, kejayaan pembangunan luar bandar memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk ketua masyarakat, agensi kerajaan, institusi kewangan dan agensi pemasaran bagi mewujudkan ekosistem pembangunan yang menyeluruh.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memastikan masyarakat luar bandar mendapat akses kepada pelbagai peluang pembangunan dan kemudahan yang dapat meningkatkan taraf hidup penduduk.
“Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan komuniti luar bandar yang berkemahiran, berdaya saing serta mempunyai sumber pendapatan yang mampan,” katanya. - EDISI UKAS