Axella Iva Juara Pekit Kumang, Kampung Sungai Buluh Ungguli Perarakan Niti Daun Gawai Simunjan
SIMUNJAN: Axella Iva Sonny dinobatkan sebagai Juara Pekit Kumang sempena Program Niti Daun Gawai Dayak Daerah Simunjan Edisi Ke-2 Tahun 2026 yang berlangsung meriah, di sini, pada Sabtu.
Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta trofi.
Alvianna Adele Agnes pula muncul naib juara sekaligus menerima RM800 dan trofi, manakala Putri Najma Abdul Hakim menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM700 berserta trofi.
Pertandingan yang disertai 10 peserta itu menampilkan keanggunan busana tradisional serta menyerlahkan keunikan warisan budaya masyarakat Dayak.
Selain Pekit Kumang, acara turut menyaksikan persaingan sengit dalam kategori Perarakan Kontinjen Terbaik Niti Daun.
Juara bagi kategori tersebut disandang oleh kontinjen Kampung Sungai Buluh yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, tempat kedua dimenangi oleh kontinjen Kampung Senangeh yang menerima RM1,000, dan Kampung Melanjok Asal menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM800.
Perarakan itu dimulakan dari Padang Sentral menuju ke Dewan Mesra Simunjan dengan penyertaan sebanyak 31 kontinjen yang mewarnai suasana program.
Gimik pukulan gong, laungan sorakan “Ooohaa” dan acara memecahkan belon menjadi simbolik kepada perasmian program berkenaan.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad serta wakil Residen Bahagian Samarahan, Janfytria Abu Bakar.-EDISI UKAS