Produk Komuniti Rajang Berpotensi Kembangkan Pasaran Ke Peringkat Antarabangsa
KUALA RAJANG: Produk keluaran komuniti luar bandar di kawasan Rajang mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa berikutan keunikan dan kualiti yang mampu bersaing di peringkat global.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, produk seperti tenunan, jahitan, kraftangan dan pelbagai hasil kreatif tempatan memiliki nilai tersendiri yang boleh diketengahkan ke pasaran lebih luas termasuk luar negara.
Menurutnya, bagi merealisasikan potensi tersebut, kapasiti pengeluaran dan sistem pemasaran produk perlu diperkukuhkan supaya mampu memenuhi permintaan pasaran yang lebih besar.
“Produk tempatan kita mempunyai kekuatan dari segi kualiti dan keunikan. Apa yang penting sekarang ialah memperluaskan pasaran serta meningkatkan kemampuan pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Kemahiran KEMAS di Dewan Masyarakat Kampung Rajang, di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu menambah, usaha memperkasakan usahawan luar bandar perlu disokong dengan penyediaan infrastruktur asas yang lengkap termasuk jalan raya yang baik, capaian internet yang stabil serta sistem logistik yang cekap.
Katanya, kemudahan tersebut penting bagi membantu pengusaha mengembangkan perusahaan dan memperluaskan rangkaian pemasaran produk mereka.
Selain itu, pusat pengeluaran bersama yang dilengkapi kemudahan jahitan, pembuatan dan penyimpanan produk juga perlu diwujudkan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran secara lebih sistematik.
“Ramai pengusaha luar bandar mempunyai kemahiran serta keupayaan menghasilkan produk berkualiti tinggi, namun masih berdepan kekangan dari segi kemudahan dan kapasiti pengeluaran,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi kewangan, rangkaian perdagangan serta perwakilan Malaysia di luar negara perlu diperkukuhkan bagi membuka peluang pasaran yang lebih luas termasuk ke Singapura dan negara lain.
Katanya, pembangunan ekosistem yang lengkap merangkumi aspek latihan, pembiayaan, pengeluaran dan pemasaran mampu mempercepatkan pertumbuhan sektor keusahawanan desa.
Beliau yakin dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, produk komuniti luar bandar mampu menjadi sumber ekonomi baharu yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan masyarakat serta pembangunan mampan kawasan luar bandar. - EDISI UKAS