Lapan Menara Baharu Lonjak Transformasi Digital Luar Bandar Sarawak
GEDONG: Transformasi digital luar bandar Sarawak semakin terserlah apabila lapan menara telekomunikasi baharu di bawah Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) siap dibina dan beroperasi sepenuhnya.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata inisiatif yang dilaksanakan ini bukan sekadar menaik taraf rangkaian, malah menjadi batu loncatan kepada masyarakat luar bandar untuk memanfaatkan peluang ekonomi digital.
Jelasnya, ini membuka peluang lebih luas kepada penduduk Parlimen Batang Sadong untuk menikmati capaian internet yang lebih pantas, stabil dan selamat.
“Dengan liputan internet yang luas serta kemudahan baharu seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan pembayaran tanpa tunai, masyarakat luar bandar kini boleh menjana pendapatan secara moden, selamat dan pantas ia sudah menjadi realiti hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Karnival Cashless Sarawak 2025 di Dewan Datuk Patinggi Ali Gedong pada Ahad.
Sehingga suku kedua tahun ini, liputan internet mudah alih di kawasan berpenduduk telah mencapai 89.72 peratus.
Pada masa sama, lima NADI diwujudkan di Gedong Proper, Sadong Jaya, Simunjan, Lubok Punggor dan Kampung Sungai Apin sebagai pusat literasi digital masyarakat, bagi memastikan komuniti luar bandar turut menerima pendedahan kepada teknologi terkini.
Menurut Rodiyah lagi, kerajaan sedar era tunai semata-mata sudah tidak mencukupi dalam dunia yang makin pantas dan berteknologi tinggi.
“Dua inisiatif utama diperkenalkan iaitu setiap lesen perniagaan baharu digalakkan menyediakan pilihan bayaran tanpa tunai manakala program Masyarakat Tanpa Tunai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diperluas ke kawasan luar bandar termasuk Gedong,”ujarnya.
Pelancaran inisiatif pembayaran tanpa tunai di Gedong hari ini juga dilihat sebagai titik permulaan kepada peniaga mikro dan kecil memperluaskan perniagaan mereka melalui platform digital, seiring dengan hasrat kerajaan memperkukuh ekonomi komuniti setempat dan memperluas penggunaan teknologi digital.
Turut hadir ialah Pengarah MCMC Wilayah Sarawak, Adiman Ajem, Wakil Ketua KPDN Cawangan Serian, Ellycia Sintan serta tetamu lain.-EDISI UKAS