Pembakaran Terbuka Dilarang, DBKU Perketat Penguatkuasaan Susulan Cuaca Panas
KUCHING: Keadaan cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini menuntut kewaspadaan tinggi semua pihak berikutan peningkatan risiko kebakaran serta potensi kemerosotan kualiti udara di kawasan sekitar.
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, insiden kebakaran belukar seluas kira-kira tiga hektar di Jalan Sultan Tengah berhampiran Bangunan Sumber Alam, Petra Jaya, tengah hari semalam, menjadi peringatan jelas terhadap bahaya aktiviti pembakaran terbuka.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi tujuan pembersihan atau pelupusan sisa, sebaliknya menggunakan kaedah pelupusan yang lebih selamat termasuk perkhidmatan kutipan sampah yang disediakan DBKU.
Dalam pada itu, masyarakat turut digesa agar sentiasa peka terhadap persekitaran terutama di kawasan mudah terbakar seperti padang rumput dan semak, mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca terlalu panas serta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa.
DBKU turut memaklumkan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, dengan tindakan tegas diambil terhadap individu yang melanggar peraturan di bawah Seksyen 113 Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996.
Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan komuniti terus terpelihara serta kelestarian alam sekitar di kawasan bandar raya tidak terjejas.-EDISI UKAS