Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Terima Kunjungan Hormat Jawatankuasa Sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Sambutan Hari Lahir Ke-79 beliau di Astana Negeri Sarawak pada Rabu.
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Menteri Bertanggungjawab terhadap sambutan perayaan tersebut.
Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Dan PETROS) Dato Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah Unit Protokol, Istiadat Dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Awang Ikman Awang Sepian dan Timbalan Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Caroline Chen Tze Yian.
Kehadiran Jawatankuasa tersebut bagi menyampaikan aturcara dan mendapatkan pandangan mengenai aktiviti dan majlis yang dianjurkan sepanjang sambutan diadakan yang bermula pada 9 hingga 12 Oktober
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang sambutan diadakan adalah Majlis Kesyukuran yang diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya pada 9 Oktober manakala Majlis Kesyukuran UNIFOR yang diadakan di Imperial Hotel pada 10 Oktober.
Pada 11 Oktober, aktiviti utama bakal dijalankan iaitu Istiadat Perbarisan Dan Rapat Raksasa yang dilaksanakan di Padang Merdeka, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Besar Astana Negeri Sarawak dan Majlis Jamuan Negeri di Dewan Santapan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN).
Turut diadakan adalah Konsert Rakyat yang berlangsung di Padang Merdeka.
Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak disempurnakan dengan Majlis Jamuan Teh pada 12 Oktober di Hotel Riverside Majestic mengakhiri sambutan tersebut. -EDISI UKAS