Alumni SMK Tinggi Sarikei Raikan Ulang Tahun dengan Perasmian Padang Sukan
SARIKEI: Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-21 dan Majlis Sekalung Budi Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Sarikei diserikan dengan perasmian Padang Sukan Bersepadu Alumni.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menzahirkan penghargaan terhadap alma mater tempat beliau menimba ilmu dan membesar serta berterima kasih kepada pengetua dan guru-guru yang telah mendidik dengan penuh perhatian dan kesungguhan.
“Persatuan alumni bukan sahaja menjadi wadah mengeratkan hubungan bekas pelajar, tetapi juga tonggak sokongan utama kepada pembangunan alma mater,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian berkenaan di Dewan SMK Tinggi Sarikei, pada Sabtu.
Perasmian Padang Sukan Bersepadu itu mencerminkan komitmen mendalam para alumni terhadap sekolah selain keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan pendidikan.
Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu, pelbagai bantuan seperti pakaian seragam sekolah, kasut dan beg turut diberikan kepada pelajar di kawasan Parlimen Sarikei bagi meringankan beban ibu bapa.
Selain itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas usaha berterusan membangunkan Sarikei termasuk pembinaan jambatan, jalan raya serta penambahbaikan infrastruktur asas.
“Kita amat bersyukur kerana negeri Sarawak dipimpin oleh seorang pemimpin yang berjiwa rakyat,” ujarnya.
Pada majlis itu, Dato’ Sri Huang turut mengumumkan sumbangan RM50,000 kepada Persatuan Bekas Pelajar SMK Tinggi Sarikei bagi menyokong aktiviti tahunan sekolah.
Majlis yang berlangsung di Dewan SMK Tinggi Sarikei itu dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk Pengerusi Alumni SMK Tinggi Sarikei, ABS Wong Siong Nee, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Lau Ngie Tung, Pengerusi Lembaga Pengurusan SMK Tinggi Sarikei, Chieng King Chong serta Pengetua, Ong Yew Ming.-EDISI UKAS