23 Ketua Isi Rumah di Gedong Terima Bantuan Wang Ihsan Banjir
GEDONG: Seramai 23 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir pada Januari lalu menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) bernilai RM1,000 setiap seorang dalam satu majlis ringkas di Dewan Masyarakat Gedong, Rabu.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) merangkap Wakil Khas ADUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Beliau menegaskan, banjir adalah bencana yang tidak dapat dielakkan sepenuhnya walaupun dengan adanya infrastruktur pencegahan.
Justeru, beliau menyarankan penduduk membina rumah kediaman sekurang-kurangnya tiga kaki lebih tinggi daripada paras asal tanah bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda.
“Bantuan ini bukan ganti rugi, tetapi sumbangan ikhlas kerajaan untuk meringankan beban mangsa agar mereka dapat meneruskan kehidupan selepas bencana,” katanya.
Menurut beliau, langkah pencegahan seperti membina rumah lebih tinggi amat penting untuk melindungi perabot, barangan elektrik dan lantai rumah daripada kerosakan sekiranya banjir berulang.
Turut hadir, Pemanca Melayu Zon Gedong Proper Abang Ronnie Abang Sa’adeli, Penghulu Melayu Zon Gedong Proper Adian Salleh serta para penerima bantuan.-EDISI UKAS