Tabung Amanah Bakun Raikan 20 Pelajar Belaga Melanjutkan Pengajian
KUCHING: Suasana penuh semangat dan kebersamaan mewarnai Majlis Makan Malam Belia Daerah Belaga 2025 dan Sambutan Ulang Tahun ke-28 Tabung Amanah Bakun yang berlangsung di The Waterfront Hotel, Kuching pada Ahad.
Acara tersebut menjadi wadah penyatuan warga Belaga yang menetap di sekitar Kuching, di samping meraikan kejayaan pelajar-pelajar dari Daerah Belaga dan Sungai Asap yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang dalam ucapannya menyeru para belia dan pelajar agar terus mengekalkan semangat perpaduan, kebersamaan serta rasa cinta terhadap kampung halaman walau di mana mereka berada.
“Kita mahu melihat anak-anak muda Belaga terus maju dan berjaya, namun dalam masa yang sama tidak melupakan akar dan identiti mereka."
"Inilah semangat yang perlu kita kekalkan iaitu saling menghargai, menyokong dan membantu antara satu sama lain,” katanya berucap.
Majlis berkenaan turut meraikan 20 pelajar yang menerima insentif awal masuk kampus berjumlah RM8,000 yang disumbangkan oleh Tabung Amanah Bakun dengan kadar RM300 untuk pelajar ijazah dan RM200 bagi pelajar diploma.
Inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban kewangan serta menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus berjaya dalam pengajian masing-masing.
Dalam pada itu, Datuk Liwan yang juga Pengerusi Tabung Amanah Bakun turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan kepada Tabung Amanah Bakun dan menyeru agar usaha murni itu diteruskan.
Acara kemuncak majlis diserikan dengan gimik pemotongan kek sempena ulang tahun ke-28 penubuhan Tabung Amanah Bakun, simbolik kepada perjalanan panjang tabung tersebut dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan masyarakat Belaga.
Majlis turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Sarawak Energy Berhad (SEB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang, serta Kelab Belia Belaga Sarawak.
Turut hadir, ADUN Murum merangkap Setiausaha Tabung Amanah Bakun, Kennedy Chukpai Ugon, Timbalan Pengerusi Tabung Amanah Bakun Datuk Billy Abit Joo, Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah serta wakil-wakil jabatan kerajaan, ketua masyarakat, wakil persatuan, dan warga Belaga di Kuching.-EDISI UKAS