Pembinaan Empangan Hidroelektrik Batang Ai Satu Langkah Berani
LUBOK ANTU: Keputusan Sarawak untuk membina Empangan Hidroelektrik Batang Ai merupakan satu langkah yang berani di mana pada hari ini telah menjadi pencetus kepada pengeluaran sumber tenaga boleh diperbaharui.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, selepas pembangunan empangan tersebut, wilayah ini meneruskan langkah seterusnya dengan membina empangan Bakun dan Murum yang amat penting untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui terutamanya bagi melaksanakan agenda besar Sarawak.
Menurutnya, Empangan Hidroelektrik Batang Ai telah membawa transformasi besar dalam bekalan elektrik di kawasan selatan Sarawak apabila projek hidroelektrik ini meningkatkan kebolehpercayaan bekalan, menghubungkan komuniti yang sebelum ini bergantung kepada loji diesel dan terma kecil, serta menyokong pertumbuhan industri dan kediaman di kawasan berkenaan.
“Sebelum empangan ini beroperasi, kawasan ini bergantung kepada loji diesel dan terma kecil yang terpisah, menyebabkan bekalan elektrik kurang stabil dan liputan terhad.
“Namun, dengan adanya Empangan Hidroelektrik Batang Ai yang telah beroperasi sejak tahun 1985, Sarawak kini memiliki rangkaian penghantaran voltan tinggi yang menghubungkan komuniti, meningkatkan kebolehpercayaan bekalan, serta menyokong pertumbuhan industri dan kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Empangan Hidroelektrik Batang Ai, di sini pada Isnin.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Beliau menambah, selain menjana tenaga, Empangan Hidroelektrik Batang Ai turut menyumbang kepada pembangunan kapasiti tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan, daripada jurutera hingga pengurus kecil dan pengurus stesen, menunjukkan bagaimana rancangan pembangunan tenaga boleh diperbaharui boleh membina modal baru di wilayah ini.
“Ini bermakna bahawa pembinaan dan pengoperasian Batang Ai, serta pelbagai usaha untuk memperluas bekalan tenaga boleh diperbaharui pada masa depan, sudah tentu akan memberi impak besar terutamanya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan selain daripada menyumbang kepada pembangunan ekonomi,” tambahnya lagi.
Perkara ini jelasnya menjadi bukti bahawa Sarawak telah membuat keputusan yang tepat dengan melabur dalam tenaga hidro boleh diperbaharui, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil untuk memberikan nilai berpanjangan kepada rakyat dan Sarawak, khususnya di sekitar kawasan Batang Ai.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Sharbini Suhaili dan Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh. -EDISI UKAS