Projek Rumah Spektra Permata Balingian Hampir Siap 90 Peratus
BALINGIAN: Projek Rumah Spektra Permata (RSP) Balingian kini hampir siap sepenuhnya, dengan kerja-kerja pembinaan mencapai 90 peratus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kerja infrastruktur ini baru sahaja dimulakan, manakala pembinaan rumah pula hampir lengkap.
“Projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat kerana ia menyediakan peluang kepada mereka memiliki rumah yang lebih selesa dan teratur,” kata beliau selepas melakukan tinjauan di tapak projek berkenaan pada Khamis.
Beliau turut memuji komitmen kontraktor yang melaksanakan kerja dengan kualiti dan disiplin tinggi, memastikan projek berjalan mengikut jadual.
“Kerjasama antara semua pihak termasuk agensi pelaksana amat penting untuk memastikan projek ini dapat disiapkan dengan sempurna demi kesejahteraan penduduk,” tambah beliau.
Projek ini melibatkan 22 unit rumah di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat di kawasan berkenaan.
Projek dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat, sekali gus memberikan manfaat besar kepada penduduk Balingian yang menanti kediaman baharu mereka.-EDISI UKAS