KUCHING: Sentuhan Kasih Exco Majlis Kebajikan dan Sosial Anggota Kerajaan (MAKSAK) Wanita terus disemai melalui Program Sara Cares yang membuktikan usaha berterusan dalam menyalurkan bantuan membawa makna besar walaupun dalam bentuk sumbangan kecil.
Kunjungan berkenaan telah dilaksanakan Exco (MAKSAK) Wanita Sarawak, yang diketuai oleh Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang, pada Jumaat.
Beliau mengucapkan penghargaan kepada semua penyumbang SARA CARES, terutamanya penjawat awam Sarawak yang rela berkongsi rezeki demi membantu mereka yang memerlukan.
“Inisiatif kecil yang diambil bersama ini telah mencipta senyuman dan memberi impak positif terhadap penerima,” katanya.
Dua individu terakhir yang tidak dapat hadir semasa majlis penyampaian terdahulu di Mydin Vista Tunku telah diteruskan melalui agihan bantuan di bawah Program SARA CARES.
Sumbangan berkenaan telah dihantar secara terus ke kediaman masing-masing bagi memastikan bantuan diterima sepenuhnya oleh penerima.
Di samping menyalurkan bantuan, program ini juga menyerlahkan nilai mengambil berat, empati dan kasih yang memupuk hubungan erat antara penjawat awam dan masyarakat.
Inisiatif seperti ini mencerminkan nilai tanggungjawab sosial serta mempererat semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti. — EDISI UKAS