KUCHING: Prestasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Sarawak terus menunjukkan peningkatan positif apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negeri meningkat kepada 2.75 berbanding 2.68 pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan kecemerlangan berterusan sistem pendidikan negeri dalam melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak (Sektor Pengurusan Sekolah), Dr Les Met berkata pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan warga pendidik, pelajar, ibu bapa serta pelbagai pihak dalam memperkukuh kualiti pendidikan di negeri ini.
“PNGK STPM 2025 bagi Sarawak telah meningkat daripada 2.68 pada tahun 2024 kepada 2.75 pada tahun 2025.
“Peningkatan ini menunjukkan usaha berterusan semua pihak dalam memperkukuh pencapaian pendidikan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli semasa Majlis Pengumuman dan Apresiasi Keputusan STPM 2025 Peringkat Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, pada Khamis.
Menurut beliau, bilangan calon yang memperoleh PNGK 4.00 turut meningkat kepada 115 orang atau 2.19 peratus berbanding 92 orang atau 1.61 peratus pada tahun 2024.
Lebih membanggakan, dua calon yang mengambil lima mata pelajaran berjaya memperoleh gred 5A bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding tiada calon mencapai kejayaan tersebut pada tahun sebelumnya.
Selain itu, bilangan calon yang memperoleh keputusan 4A turut meningkat daripada 91 orang kepada 110 orang.
Dalam pada itu, kadar lulus penuh bagi calon yang mengambil empat dan lima mata pelajaran meningkat daripada 98.16 peratus pada STPM 2024 kepada 98.71 peratus pada tahun ini.
Daripada keseluruhan calon yang hadir menduduki peperiksaan, seramai 5,257 orang atau 99.96 peratus layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.
Dr Les berkata kesemua 22 mata pelajaran yang ditawarkan di sekolah-sekolah Sarawak mencatat peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus, manakala sembilan mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, mata pelajaran Perakaunan dan Information and Communication Technology (ICT) terus mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus penuh, manakala Bahasa Arab merekodkan peningkatan ketara dari segi peratusan kelulusan penuh.
Pada peringkat sekolah, sebanyak 14 sekolah berjaya mencapai PNGK 3.00 dan ke atas, manakala 52 daripada 79 sekolah yang menawarkan STPM mencatat peningkatan PNGK berbanding tahun lalu.
Sarawak turut melakar kejayaan di peringkat kebangsaan apabila Kolej Tingkatan Enam Saratok diiktiraf sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Kolej Tingkatan Enam, manakala SMK Sacred Heart, Sibu menerima pengiktirafan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan bagi kategori Mod 2 dan Mod 3.
Selain itu, pelajar SMK Methodist, Sibu, Sharifah Nur Hazwani Wan Sapare mengharumkan nama Sarawak apabila dianugerahkan Pelajar Terbaik Kebangsaan Mata Pelajaran Bahasa Melayu STPM 2025.
Dr Les turut merakamkan penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, warga sekolah serta rakan strategik pendidikan yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong kecemerlangan pelajar STPM di negeri ini.
Beliau berharap pencapaian yang diraih tahun ini akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk meningkatkan prestasi pendidikan Sarawak serta melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan.-EDISI UKAS