Forum Perdana Hayati Nilai Hijrah, Perkukuh Perpaduan Ummah di Bekenu
BEKENU: Kepentingan memupuk perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk terus menjadi teras dalam memastikan kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan negeri Sarawak.
Pendekatan tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin, Bekenu, pada Rabu.
Mengangkat tema “Hijrah: Inspirasi Rasulullah, Aspirasi Ummah”, forum berkenaan menjadi platform untuk menghayati pengajaran dan hikmah peristiwa Hijrah Rasulullah SAW di samping menterjemahkan nilai-nilai hijrah dalam kehidupan seharian ke arah pembentukan masyarakat yang progresif, berakhlak mulia serta berdaya saing.
Forum tersebut menampilkan Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak, Mual Su’aud sebagai panel jemputan.
Sesi forum dikendalikan oleh Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Majlis Islam Sarawak, Ustaz Hamdan Ja’ee selaku moderator yang membincangkan peranan umat Islam dalam memperkukuh perpaduan serta mendepani cabaran semasa berlandaskan nilai-nilai Islam.
Antara objektif penganjuran forum tersebut adalah untuk meningkatkan penghayatan terhadap peristiwa Hijrah Rasulullah SAW serta memupuk semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
Program berkenaan turut memberi penekanan kepada kepentingan kefahaman umat Islam terhadap peranan mereka dalam pembangunan negeri dan negara, selain menjadikan ajaran Islam sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Hadir mewakili Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni ialah Pegawai Daerah Subis, Arshad Samshu.-EDISI UKAS