Majlis Santai Bersama Pemimpin Perkukuh Hubungan, Dengar Aspirasi Rakyat Selangau
SELANGAU: Pendekatan turun padang secara berterusan menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat, sekali gus memastikan keperluan komuniti setempat diberi perhatian dalam perancangan pembangunan.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta meneruskan usaha tersebut menerusi dua program bersama komuniti yang diadakan di Rh. Sumping, Ulu Oya dan Rh. Kapong Jalani, Skim Sekuau, pada Selasa.
Pada sebelah pagi, beliau menghadiri Majlis Santai Bersama Pemimpin di Rh. Sumping, Ulu Oya yang menghimpunkan penduduk setempat bersama 24 ketua kaum dari kawasan sekitar.
Turut hadir Penghulu Bansa Kunchau, Penghulu Surang Takin serta Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chunggat.
Program berkenaan menjadi platform membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan luar bandar, kesejahteraan komuniti serta keperluan semasa penduduk.
Suasana mesra yang terjalin membolehkan penduduk menyampaikan pandangan dan cadangan secara langsung kepada wakil rakyat mereka.
Pada sebelah petang, beliau meneruskan program Santai Aspirasi MADANI Bersama Pemimpin di Rh. Kapong Jalani, Skim Sekuau yang turut dihadiri Penghulu Ngalai, Penghulu Surang Takin, Cr. Unyang serta 23 ketua kaum.
Sesi tersebut membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk berkongsi aspirasi selain membincangkan perkara berkaitan pembangunan, kemudahan asas dan keperluan komuniti.
Sebagai sokongan terhadap pembangunan komuniti, Edwin mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada JKKK dan Biro Wanita Rh. Sumping serta RM35,000 kepada JKKK dan Biro Wanita Rh. Kapong Jalani bagi melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan program pembangunan setempat.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan bertemu rakyat secara langsung akan terus dilaksanakan bagi memastikan setiap isu dan keperluan masyarakat dapat dikenal pasti serta ditangani dengan lebih berkesan.-EDISI UKAS