Toh Puan Fauziah Terima Kunjungan Hormat Delegasi Jawatankuasa ICACA 2026 UNIMAS
KUCHING: Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jawatankuasa ‘International Conference of Applied and Creative Arts’ (ICACA 2026) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit itu bertujuan menjemput Toh Puan Fauziah untuk merasmikan ICACA 2026 yang akan berlangsung di Experimental Theatre Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS pada 23 September 2026.
Persidangan antarabangsa kali kelapan itu dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September 2026.
ICACA merupakan persidangan dwitahunan yang mula dianjurkan pada 2006 dengan sokongan dari Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) serta kerjasama pelbagai institusi dalam dan luar negara bagi memperkukuh kesarjanaan akademik dalam bidang pemuliharaan dan inovasi seni.
Bagi penganjuran tahun ini, ICACA turut dijayakan menerusi kolaborasi bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Seni Indonesia Yogyakarta dengan mengangkat tema ‘Co-Creating Sustainable Future in Applied and Creative Arts Technology’.
Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Dekan FSGK Dr Louis Ringah Kanyan, Pengerusi ICACA 2026 Dr Laura Prati serta Timbalan-Timbalan Pengerusi ICACA 2026 Dr Mawar Suhaila dan Dr Jong Sze Hoon.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie