Belanjawan 2026: Sarawak & Sabah Terima Peruntukan Tertinggi
KUALA LUMPUR: Sarawak dan Sabah menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2026, masing-masing berjumlah RM6 bilion dan RM6.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata peruntukan kepada Sabah meningkat berbanding RM4.4 bilion pada 2022, manakala peruntukan untuk Sarawak terus meningkat daripada RM2.9 bilion dalam tempoh yang sama.
Perdana Menteri menjelaskan, peningkatan ini mencerminkan komitmen nyata kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan, khususnya dari segi prasarana asas antara Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain, sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Mulai tahun ini, kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM300 juta pada 2023," katanya ketika membentangkan Belanjawan bertemakan "Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat" di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah, meskipun kawal selia bekalan elektrik telah diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri bermula tahun lalu.
Pada masa sama, katanya, kerajaan akan membiayai Projek Talian Penghantaran Southern Link dengan peruntukan sebanyak RM765 juta, bagi memastikan kesinambungan bekalan elektrik jangka panjang di negeri itu.
Ini susulan kejadian tanah runtuh di
Penampang yang telah memutuskan dua talian penghantaran elektrik voltan tinggi, menyebabkan gangguan bekalan kepada
lebih 230,000 pengguna di Pantai Timur Sabah.
Selain itu, projek air Sabah yang melibatkan peruntukan RMI bilion sejak 2024 kini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap menjelang tahun hadapan.
Antara projek yang terlibat termasuk pemasangan paip baharu di Tawau, serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
Bagi projek lebuh raya pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak RM1.67 bilion disediakan tahun hadapan untuk projek Pan Borneo Sabah, bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual dan melengkapkan Pakej Pan Borneo Sabah Fasa lA yang telah siap.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 1 dijangka siap pada November 2026, manakala SSLR Fasa 2 sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan
2029.
"Selain itu, Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Lebuhraya Trans Borneo (PTB), yang akan melengkapkan rangkaian jalan penghubung antara Sabah dan Sarawak, akan dikeluarkan seawal suku pertama tahun hadapan," katanya.
Kerajaan juga akan menaik taraf struktur turapan jalan di seksyen Durin dan Salim, di bawah Red Line di Sibu, Sarawak, dengan peruntukan RM350 juta, menjadikan jumlah keseluruhan kos projek infrastruktur rakyat di kedua-dua negeri mencecah RM48 bilion.
Dalam aspek digital, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) akan dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melibatkan laluan sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion.
"Laluan ini akan menghubungkan Sedili di Johor ke Kuching dan Sibu di Sarawak, kemudian ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah," katanya.
Sebagai tambahan, RM20 juta turut disediakan bagi menambah baik tapak dan ruang niaga Tamu Desa yang dilengkapi kemudahan asas, bagi menyokong peniaga kecil di kedua-dua negeri.