Sarawak Komited Perkasa Ekonomi Ummah Melalui Zakat dan Wakaf
KUCHING: Penganjuran Mesyuarat Tahunan dan Persidangan Antarabangsa Forum Zakat dan Wakaf Sedunia (WZWF) ke-14 di Kuching menjadi bukti peranan penting Sarawak dalam menerajui agenda pembangunan ekonomi Islam berasaskan instrumen zakat dan wakaf, selaras dengan perubahan ekonomi global dan kemajuan teknologi masa kini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah persidangan antarabangsa ini mencerminkan pengiktirafan terhadap komitmen negeri dalam memajukan ekonomi umat Islam melalui pendekatan yang progresif dan menyeluruh.
“Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan pihak zakat yang telah memilih Sarawak sebagai lokasi penganjuran disebabkan apa yang telah kita lakukan di Sarawak dalam kita memperkasakan ekonomi masyarakat Islam dan juga dari sudut perspektif bagaimana kita dapat zakat fan menggunakan zakat untuk masa depan masyarakat Islam dari perspektif ekonomi serta kebajikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian WZWF ke-14 di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching, pada Isnin.
Menjelas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan bahawa dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi global yang pesat, masyarakat Islam perlu bersiap sedia untuk meneroka bidang strategik seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau percaya penglibatan aktif dalam penciptaan dan pembangunan teknologi ini bukan sahaja akan memberi impak besar kepada umat Islam, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan seluruh manusia sejagat.
Seiring dengan itu, Premier Sarawak mengajak masyarakat untuk menggerakkan inisiatif ini melalui konsep wakaf ilmu, di mana sumbangan pengetahuan dan kepakaran dapat dijadikan sebagai aset berharga yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
Dengan pendekatan ini, ujarnya, ilmu bukan sahaja dapat diwariskan tetapi juga dikembangkan demi kemajuan ummah.
Menurutnya, untuk memastikan usaha ini berjaya, Sarawak akan terus bekerjasama rapat dengan sekretariat WZWF bagi meneroka dan menyesuaikan idea serta pendekatan baharu yang relevan dengan keperluan tempatan.-EDISI UKAS