Pembentukan GPS Pastikan Kedaulatan Sarawak Dalam Malaysia Terus Terpelihara
KUCHING: Keputusan berani untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018 adalah bagi memastikan kedaulatan Sarawak dalam Malaysia terus terpelihara.
Premier Sarawak yang juga Presiden GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, implikasi politik setelah kejatuhan BN itu sedikit sebanyak mengganggu pembangunan di wilayah ini, terutamanya beberapa projek besar seperti jambatan telah dibatalkan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu, lebih-lebih lagi apabila BN berada di kerusi pembangkang.
Katanya, Sarawak perlu segera merangka haluan baharu agar kedaulatannya dapat dilindungi dengan sebaiknya dan mampu bergerak maju berasaskan sumber serta perpaduan rakyatnya.
“Selepas kekalahan itu, apa yang berlaku ialah kami menjadi pembangkang dan serta-merta semua projek strategik, terutamanya untuk Sarawak, telah dibatalkan.
“Projek-projek yang memberi kesan besar kepada Sarawak, terutamanya kepada penduduk di luar bandar, termasuk bekalan air dan bekalan elektrik, telah dibatalkan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-6 Parti Rakyat Sarawak (PRS), di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, kestabilan politik hasil gabungan parti-parti di Sarawak membolehkan wilayah ini memberi fokus kepada pencarian sumber pendapatan untuk menggerakkan semula projek-projek yang telah dibatalkan, malah menambah projek sedia ada untuk kesejahteraan rakyatnya.
“Akhirnya, projek yang dibatalkan Kerajaan Persekutuan ketika itu kita sambung dengan cara kita sendiri.
“Jambatan dan bekalan air serta elektrik kita bangunkan, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kita teruskan dan kita bangunkan infrastruktur dalam bandar dan luar bandar melalui kaedah yang saya panggil penyusunan semula hasil wilayah,” ujar beliau lagi.
Selain meneruskan projek ini, beliau turut mengingatkan bahawa GPS dengan kerjasama semua parti dibawahnya akan terus berjuang untuk mempertahankan hak Sarawak, mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk memastikan kedaulatan wilayah ini terjamin dan haknya seperti mana yang termaktub dalam mana-mana perlembagaan dipatuhi oleh semua pihak.
Turut hadir ke majlis itu ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS