Lebih 1.2 Juta Hektar Tanah NCR Disukat Sejak 2010
SERIAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah menyukat secara perimeter seluas 1,217,766 hektar atau 3.009 juta ekar tanah di seluruh Sarawak sejak pelaksanaan inisiatif pengukuran tanah adat dimulakan pada tahun 2010 hingga 30 September lepas.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebanyak 938,342 hektar atau 2.3 juta ekar telah berjaya diwartakan daripada jumlah tersebut.
Tambahnya, kini kerajaan turut mewartakan Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) melibatkan 12 lokaliti dengan jumlah 12,370.232 hektar dan 36 kampung.
"Selepas pewartaan Seksyen 6, peringkat kedua iaitu penyukatan lot individu dan pengeluaran Surat Hak Milik Seksyen 18 KTN sedang giat dijalankan di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) Bahagian Serian Dan Kuching di Serian Conference Centre (SCC), pada Rabu.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah, sehingga 30 September 2025, sebanyak 105,344 lot individu telah diukur melibatkan 125,703 hektar (310,618 ekar) dan 34,122 lot telah dikeluarkan surat hak milik meliputi 47,443 hektar (117,234 ekar).
Namun, beliau menegaskan pengukuran hanya dijalankan dengan persetujuan penuntut tanah dan setelah tiada pertikaian sempadan.
Beliau turut menyeru kerjasama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan pemilik tanah yang penting agar program ini tidak tertangguh. -EDISI UKAS